Monday, February 23, 2009

LELAKI dan perempuan adalah dua makhluk yang berbeza kerana kedua-duanya berasal dari planet yang berlainan. Lelaki berasal dari planet Mars, wanita pula dari planet Venus.
Perbezaan itu menyebabkan kedua-duanya sering tidak sehaluan. Cinta yang indah dan harmonis pada awalnya semakin sukar dipertahankan. Masa-masa silam dilihat terlalu banyak halangan dan godaan kerana perkahwinan adalah realiti kehidupan sedangkan 'menjaga cinta' itu adalah utopia kehidupan. Antara realiti dan utopia sukar difahami kerana kedua-dua makhluk itu bukan sahaja berasal dari planet yang berbeza, malah gagal memahami perbezaan masing-masing.
Tentu sahaja planet Mars dan Venus itu sekadar perlambangan. Namun, perlambangan itulah yang membuatkan pengarangnya, John Gray tersohor dan kaya raya. Bukunya, Men Are From Mars, Women Are From Venus telah melonjak naik dan menjadi buku terlaris di Amerika Syarikat (AS).
Sejak buku itu terbit, Publisher's Weekly mengeluarkan kenyataan bahawa buku itu telah dicetak ulang setiap dua minggu. Buku itu dikatakan telah membantu jutaan pasangan di AS memahami transformasi hubungan perkahwinan.
Ini termasuklah memahami kompleksiti dan keunikan hubungan antara lelaki dan perempuan. Buku itu juga telah menjadi 'klasik moden' bagi membantu lelaki dan wanita memahami perbezaan mereka. Juga, bagaimana perbezaan itu akhirnya membuahkan komunikasi yang membantu mengelakkan konflik, seterusnya berupaya menjamin kelangsungan hubungan yang berkekalan.
Gray menyebut, buku itu adalah pegangan bagi hubungan cinta. Gray mengungkapkan betapa berbezanya lelaki dan perempuan dalam banyak hal. Bukan sahaja dalam komunikasi, malah cara berfikir, merasa, memahami, reaksi, mencintai, memerlukan, dan memberi penghargaan. Kata Gray lagi, pemahaman terhadap perbezaan itu akan menjadi 'kunci' kepada hubungan cinta yang lestari.
Sebenarnya, apa yang dibincangkan oleh Gray dalam bukunya itu sangat sederhana. Berdasarkan kajian terhadap 25,000 pasangan yang ditemubual dan menghadiri kursus-kursus yang dikendalikannya, Gray telah menemukan formula yang sederhana tetapi berkesan sebagai resipi kebahagiaan.
Dengan kesederhanaan itulah, buku itu telah terjual lebih enam juta naskhah, dan diterjemahkan ke dalam 38 bahasa. Royalti yang diterima Gray daripada buku itu sahaja dianggarkan mencecah RM64.8 juta (AS$18 juta). Kejayaan itu terus disambung dengan kelahiran buku-bukunya yang lain seperti Mars and Venus Together Forever, Mars and Venus in Love, Mars and Venus in Bedroom, Mars and Venus Single Again, Mars and Venus on a Date dan Mars and Venus Starting Over. Menurut majalah Time, jumlah keseluruhan bukunya yang telah dijual melebihi sembilan juta naskhah. Tidak hanya itu, Gray juga telah melancarkan siri Mars/Venus dalam bentuk kaset, video, cakera padat dan muzik.
Dalam hampir setiap buku yang ditulisnya, Gray menganjurkan perkara-perkara berikut iaitu Apa yang membuat wanita gembira?; Apa sebenarnya yang diinginkan lelaki?; Bagaimana membaca mood pasangan masing-masing dan respons terhadapnya?; Bagaimana mengelakkan perselisihan faham?; Bagaimana menzahirkan perasaan yang sukar dan kompleks?; Bagaimana mendapat sesuatu tanpa menghiris perasaan pihak lain?; Bagaimana mewujudkan hubungan cinta yang berkekalan? dan Bagaimana menjadi pendengar yang baik?.
Apa yang dibincangkan oleh Gray dalam buku-bukunya itu telah kita ketahui dan 'menempuhnya' dalam kehidupan sehari-hari. Namun, kita tidak pernah ada 'seni' untuk mengendali dan mengawalnya. Sepanjang menempuhnya, kita sering terguris hati, kecil hati dan menyimpan luka yang dalam.
JOHN GRAY
Ia sering berakhir dengan masing-masing membawa haluan yang berbeza. Inilah kompleksiti dan keunikan hubungan antara suami dan isteri, antara lelaki dan perempuan, antara ayah dan ibu dan antara teruna dan dara. Gray membuat kajian tentang kompleksiti dan keunikan itu dan menjumpai bahawa memahami 'perbezaan' itulah kunci kebahagiaan.
Gray pada zaman persekolahannya sudah mula tertarik pada gerakan spiritual Transendental Meditation (TM) yang dipelopori oleh Maharishi Mahesh Yogi. Pada tahun 1960-an, Maharishi ialah guru rohani kepada beberapa orang ternama, termasuklah kumpulan The Beatles. Kerana tertarik, Gray mengikuti ajaran Maharishi dan mendapat ijazah sarjana dari Universiti Maharishi International dan terlibat aktif dalam program latihan TM. Manakala, ijazah kedoktoran dalam bidang psikologi dan kaunseling diperoleh melalui program jarak jauh Universiti Columbia Pacific.
"Dalam tempoh sedekad, kau akan menjadi pemimpin gerakan TM," kata Maharishi kepada Gray. Meskipun begitu, Gray keluar daripada gerakan TM setelah sembilan tahun bersama mereka. Bersama isteri pertamanya, Barbara De Angelis, mereka menulis buku-buku bersifat self-help serta memberikan terapi dan kaunseling tentang pembinaan hubungan peribadi dalam kursus-kursusnya.
Namun katanya, "Saya merasa hancur." Kata-kata itu diluahkannya kerana perkahwinan pertamanya gagal lantaran terlalu sibuk memberi kursus. Tanpa disedari Gray, isterinya yang berasal dari Venus memerlukan perhatian mendalam. Itu membuatkan Gray tidak faham tentang 'perbezaan' yang akhirnya menjadi formula kejayaan beliau.
Akhirnya, Gray bernikah lagi dengan isterinya, Bonnie. Itu pun setelah dia menonton filem pecah panggung, arahan Steven Spielberg, E.T. (Extra Terrestrial) tentang makhluk angkasa yang sesat di bumi. Paling menarik, Gray pernah mengaku melihat UFO. Katanya, ia berupa bola cahaya, dan terbang pantas membentuk huruf Z. Katanya lagi: "Saya percaya adanya kehidupan di luar bumi, tetapi tentu saja saya berasal dari bumi."
Ya, Mars dan Venus adalah lambang kejayaan dan kekayaannya. Melalui Mars dan Venus, Gray telah memberi sinar bahagia kepada jutaan pasangan yang membaca bukunya kerana Gray memahami lelaki dan wanita saling amat memerlukan dan betapa sulitnya dan indahnya cinta itu, masih terserlah keharmonian hubungan yang berkekalan. Bagi Gray, cinta sukar dimengerti tetapi indah bila merasa, sukar dikawal tetapi senang diurus, kerana planet Mars menggambarkan kekuasaan, persaingan, kejayaan, sedangkan planet Venus menggambarkan penyerahan, keindahan, komunikasi dan cinta. Dalam dongeng klasik Yunani, sering terlihat cerita-cerita dewa dan dewi memantau hubungan cinta antara teruna dan dara. Tentu kita masih ingat, kisah Nabi Adam yang mempunyai 'segala-galanya' di syurga tetapi tetap merasa 'kekosongan' sehinggalah Hawa menemaninya.
Bagi Gray, Mars dan Venus bukan sahaja 'menemaninya', tetapi juga menjadikan 'koceknya' mengalir deras. Tentunya, daripada manusia-manusia bumi tulen yang membaca buku-bukunya.

No comments:

Post a Comment